TEMBURONG – Isnin, 1 Jun 2026 – Bertempat di Balai Raya Kampung Labu Estate, Majlis Perundingan Kampung Labu Estate dan Piasau-Piasau telah mengadakan ‘Mesra Ria Kampung Ku’ yang merupakan aktiviti riadah bertujuan mengukuhkan ikatan kekeluargaan dan semangat kejiranan.

Beberapa aktiviti telah diadakan bagi memeriahkan lagi acara ‘Mesra Ria Kampung Ku’ di antaranya peraduan masakan, sukan ria, peraduan mewarna dan peraduan menumpah ambulong. Antara tujuan acara tersebut diadakan selain daripada mengeratkan lagi silaturrahim di antara penduduk kampung, ianya juga memupuk semangat kerjasama dan perpaduan dan mengalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan.

Hadir selaku tetamu kehormat di acara tersebut ialah Yang Mulia Awang Arbi bin Haji Shahari, Penghulu Mukim Zon 1. Turut hadir Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir, Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-Piasau.