TEMBURONG – Sabtu, 13 Jamadilawal 1448 bersamaan 24 Oktober 2026 – Majlis Peletakan Batu Asas bagi Projek Menaiktaraf dan Pengubahsuaian Bangunan Tamu Aneka di Pekan Bangar telah diadakan sebagai simbolik permulaan kepada usaha mempertingkatkan kemudahan dan prasarana perniagaan di Daerah Temburong. Turut hadir ialah Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang juga selaku Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-Piasau, serta Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Yang Mulia Awang Hassan Baha bin Haji Umar. Hadir sama ialah pegawai-pegawai kerajaan, penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung. Projek yang bermula pada 6 Oktober 2026 dan dijangka siap pada 5 Januari 2027 ini akan membangunkan Tamu Aneka dengan konsep “Di Bawah Satu Bumbung”, yang bertujuan menghimpunkan pelbagai aktiviti perniagaan di satu lokasi bagi menyediakan persekitaran yang lebih teratur, selesa dan mudah dikunjungi oleh orang ramai. Sebanyak 78 petak perniagaan akan disediakan bagi memberi ruang kepada para peniaga menjalankan aktiviti perniagaan masing-masing, di samping menyediakan lebih banyak peluang kepada peniaga tempatan untuk mengembangkan perniagaan mereka. Pelaksanaan projek ini diharap dapat merancakkan aktiviti ekonomi setempat, meningkatkan keselesaan para peniaga dan pengunjung serta mengukuhkan peranan Pekan Bangar sebagai pusat tumpuan perniagaan dan masyarakat di Daerah Temburong.