TEMBURONG – Hari Khamis, 25 Rejab 1444 bersamaan 16 Februari 2023, bertempat di Kawasan Dermaga, Pekan Bangar telah berlangsung Upacara Menaikkan Bendera Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-39 Tahun 2023 bagi Daerah Temburong.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim, Pegawai Daerah Temburong. Turut hadir Pemangku Penolong Pegawai Daerah selaku Pengerusi Majlis Ketua-Ketua Cawangan Jabatan-Jabatan Kerajaan Daerah Temburong, Pemangku Penghulu-Penghulu Mukim, Ketua-Ketua Kampung, Pemangku Ketua-Ketua Kampung, Jemputan-Jemputan Khas, Persatuan-Persatuan dan NGO’s.


Dari detik 16 Februari 2023 ini bermulalah berkibarnya Bendera Negara Brunei Darussalam. Bagi Pengiran-Pengiran dan Orang Yang Bergelar hendaklah mengibarkan bendera peribadi mereka di rumah kediaman masing-masing, manakala bagi orang ramai, bangunan-bangunan kerajaan dan premis-premis perniagaan hendaklah mengibarkan bendera Negara Brunei Darussalam di tempat masing-masing bermula pada hari ini 16 Februari 2023 sehingga 25 Februari 2023.

